Berita Semasa

Kadar kemiskinan tegar turun kepada 0.2 peratus

KUALA LUMPUR – Kadar kemiskinan tegar di negara ini mencatatkan penurunan kepada 0.2 peratus yang melibatkan 18,445 isi rumah.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dapatan itu terkandung dalam Survei Pendapatan Isi Rumah (HIES) yang terbaharu.

“Data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) pula turut mencatatkan pengurangan dengan jumlah isi rumah miskin tegar adalah 102,888 Ketua Isi Rumah (KIR), sehingga 31 Oktober lalu.

“Angka ini menunjukkan penurunan berbanding 126,556 KIR miskin tegar yang direkodkan melalui data eKasih pada Januari lalu,” kata Rafizi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai jumlah golongan miskin tegar yang berjaya dinoktahkan serta usaha segera untuk menoktahkan kesemuanya.

Sementara itu, Rafizi berkata, kerajaan berusaha melaksanakan anjakan besar melalui pensasaran pemberian bantuan kepada golongan sasar yang berkelayakan dan memutuskan untuk mewujudkan Pangkalan Data Utama (PADU), dijangka sedia digunakan secara berperingkat mulai Januari depan.

Beliau berkata, PADU berperanan sebagai pangkalan data komprehensif membantu kerajaan merangka dasar dan program pembangunan, termasuk program sosio-ekonomi serta membasmi kemiskinan secara menyeluruh tanpa pertindihan.

Selain itu, katanya, kerajaan membantu KIR miskin tegar keluar daripada cengkaman kemiskinan melalui beberapa tindakan intervensi bersifat jangka masa pendek dan sederhana, bertujuan menoktahkan kemiskinan dengan segera.

“Bagi jangka pendek, pelbagai langkah diambil bagi membantu golongan miskin seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil serta projek pembaikan membabitkan infrastruktur luar bandar dan program pembasmian kemiskinan.

“Langkah turut diambil melalui inisiatif diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang menawarkan barangan serta perkhidmatan mampu bayar kepada pengguna,” katanya.

Mengenai strategi jangka sederhana, beliau berkata, pendapatan rakyat dipertingkatkan melalui program keusahawanan, peningkatan dan latihan kemahiran semula serta penyediaan dasar perlindungan sosial komprehensif.

Show More

Related Articles

Back to top button