Berita Semasa

CENTHRA desak gencatan senjata segera dilaksana di Gaza

KUALA LUMPUR – Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mendesak supaya gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza, Palestin bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dan harta benda musnah.

Pengerusi dan Pengasas CENTHRA, Azril Mohd. Amin berkata, masyarakat dunia juga perlu mendakwa rejim Israel atas pelanggaran hak asasi manusia di bawah undang-undang antarabangsa.

“CENTHRA menekankan keperluan yang cekap, telus dan tidak berat sebelah dalam siasatan serta menggesa akauntabiliti dilakukan melalui proses undang-undang, termasuk penyiasatan segera dan berkesan mengenai tindakan pembunuhan beramai-ramai serta jenayah perang oleh rejim Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azril Mohd Amin

Menurut Azril lagi, melindungi nyawa manusia dan mengurangkan penderitaan, terutamanya di kalangan yang paling terdedah di kawasan yang diserang harus menjadi keutamaan.

Katanya, CENTHRA kekal teguh dalam memperjuangkan tindakan pantas dan substantif yang menghormati hak asasi manusia dengan memastikan keselamatan orang awam yang tidak bersalah, khususnya rakyat Palestin.

Dalam pada itu, beliau juga mengkritik tindakan keputusan lewat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) dalam konflik tersebut.

“Resolusi UNSC yang dibuat semalam menggesa supaya koridor kemanusiaan dilanjutkan untuk memastikan akses tanpa halangan kepada barangan dan perkhidmatan penting, memudahkan pembaikan kecemasan kepada infrastruktur penting dan bantuan dalam usaha menyelamat dan pemulihan, terutamanya bagi mereka yang terdedah, termasuk kanak-kanak yang hilang dan cedera.

“Walaubagaimanapun, di sebalik keadaan mendesak, masih terdapat fakta bahawa resolusi ini tiba lewat dan tidak mempunyai kesan yang diperlukan untuk menangani krisis kemanusiaan yang teruk dengan berkesan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button