Agama

Ajaran Mohib Khouli difatwa sesat

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Fatwa negeri Terengganu telah memutuskan bahawa ajaran yang dibawa oleh Mohib Khouli adalah sesat.

Menerusi warta kerajaan yang diterbitkan hari ini, ketetapan itu dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ke-15 pada 30 Ogos lalu yang menetapkan ajaran itu sebagai bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini.

“Ajaran Mhd Mohib Khouli Nazim adalah sesat lagi menyesatkan dan bercanggah dengan tonggak akidah yang diyakini oleh ulama al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.

“Ciri-ciri penyelewengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazim (seperti), mendakwa Allah SWT maha berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diri-Nya Dia maha berkuasa menciptanya.

“Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami bahawa Allah SWT harus mempunyai anak, sedangkan jelas Allah SWT mustahil mempunyai anak.

“Mendakwa bahawa tidak sah solat di belakang imam yang berpegang dengan akidah al-Asya’irah. Jika solat Jumaat di belakang imam yang bermazhab al-Asya’irah, maka solatnya hendaklah diulang dengan solat Zohor,” antara kesesatan ajaran itu yang terkandung dalam warta kerajaan berkenaan.

Ajaran itu dibawa oleh seorang lelaki dari Asia Barat yang dikenali sebagai Ustaz Mohib Khauli.

Sejak akhir-akhir ini, lelaki itu yang fasih berbahasa Melayu dengan dialek Pantai Timur telah banyak mengeluarkan pandangan kontroversi yang bertentangan dengan akidah ASWJ dalam rakaman video yang dimuatnaiknya di laman sosial.

Menurut fatwa itu lagi, adalah haram bagi umat Islam untuk mengamalkan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazim.

Malah, jawatankuasa fatwa meletakkan ajaran itu sebagai fahaman ekstremis agama yang boleh memberi ancaman kepada negara.

Jawatankuasa fatwa juga turut menggesa supaya penulisan ataupun penerbitan bercetak berhubung ajaran Mhd Mohib Khouli Nazim disekat.

Show More

Related Articles

Back to top button