Politik

Wan Fayhsal dakwa ada bukti kukuh Ahli Parlimen pembangkang ‘dibeli’

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa mempunyai bukti bergambar, video, mesej dan emel yang dihantar oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Datuk Botak’ yang dikatakan cuba memujuk serta menawarkan ‘habuan’ kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Armada BERSATU itu berkata, kesemua bukti itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Saya juga ingin menyanggah kenyataan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Labuan berkenaan dengan penafian peranan ‘Dato’ Botak’ yang mengugut, menjanjikan projek dan habuan wang tunai kepada Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

“Sebaliknya, Ahli-Ahli Parlimen Bersatu khususnya, turut dipujuk untuk menyokong Perdana Menteri yang mana habuannya adalah peruntukan Parlimen. Malah, Ahli Parlimen Labuan juga telah mendakwa ditawarkan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan kerana memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Bukti-bukti seperti gambar, video, mesej dan email yang dihantar oleh ‘Dato’ Botak’ ada dalam simpanan kami dan telah disertakan dalam laporan polis dan akan disertakan dalam laporan SPRM,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga menafikan telah memfitnah bekas setiausaha politik kepada Anwar, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau hanya sekadar membacakan satu laporan polis yg dibuat oleh seorang ahli Armada BERSATU semalam.

“Biarlah pihak polis mengambil tindakan kerana laporan polis tersebut telah menyatakan semua fakta yang perlu bagi siasatan polis dijalankan.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan laporan polis dibuat oleh beliau supaya perkara ini dapat disiasat sepenuhnya. Jangan pula ‘pisang berbuah dua kali’. Pernah dahulu Perdana Menteri membuat laporan polis walaupun dinasihatkan oleh Tun Dr. Mahathir supaya jangan berbuat demikian. Akhirnya Anwar didapati bersalah menyalahgunakan kuasa seperti dilaporkan dalam kes PP v DSAI (No.3) [1999] 2 CLJ 215.

“Berkenaan dengan tindakan beliau mahu menyaman saya. Saya bersedia menghadapi tuntutannya. Namun, jangan pula beliau menggunakan aparatus kerajaan seperti SPRM atau PDRM untuk menyerang saya seperti yang banyak berlaku baru-baru ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button