Berita SemasaPM X

Krisis kemanusiaan Palestin akan beri kesan kepada hubungan global

SAN FRANCISCO – Krisis kemanusiaan yang melanda Palestin bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat negara itu atau rantau Timur Tengah secara meluas, tetapi juga kepada hubungan global untuk tempoh yang panjang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, apa yang berlaku kini di Palestin merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

“Apa yang berlaku di Palestin hari ini akan memberi kesan kepada kita. Implikasi kepada pertelingkahan ini amat signifikan dan akan berlarutan untuk tempoh yang panjang,” tegas Anwar dalam syarahan khas bertajuk “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” di University of California, di sini pada Selasa.

Kira-kira 250 pelajar menghadiri majlis itu.

Beliau turut menegaskan, Malaysia secara konsisten menggesa gencatan senjata dan pengeboman Gaza yang berterusan ketika ini dihentikan.

“Seperti yang saya nyatakan di Parlimen Malaysia, tidak ada kata dua dalam perkara ini. Kita mengutuk keganasan dalam semua bentuk, dan kita mengutuk secara mutlak tindakan membunuh, mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.

“Kita dengan tegas mengutuk pengeboman orang awam, rumah dan hospital serta kekejaman yang terhadap mereka yang tidak bersalah, kanak-kanak, wanita dan lelaki, dilakukan siang dan malam di Gaza.

Beliau berkata Malaysia melihat ini sebagai krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh peperangan yang kejam dan tanpa mengira siapa sahaja yang jadi mangsanya.

“Pokoknya ini bukan soal ketuhanan. Lagipun lebih 11,000 mangsa di Gaza terdiri daripada orang Islam dan Kristian serta warganegara pelbagai negara.

“Ini adalah mengenai usaha mencegah lebih banyak kematian, penderitaan dan kebencian.

“Penyokong perjuangan Palestin bukanlah penyalur ucapan kebencian mahupun penyokong keganasan,” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button