Berita Semasa

Jarak dua marhalah bersamaan 81km – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor

JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mewartakan fatwa baharu bahawa jarak perjalanan bagi musafir adalah sejauh 81 kilometer (km), berbanding 90km sebelum ini.

Fatwa baharu bertarikh 9 Sept lalu itu menyaksikan umat Islam boleh mengerjakan solat jamak dan qasar serta hukum fiqah lain mengikut jarak yang diputuskan.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, fatwa itu diwartakan dalam Warta Kerajaan Johor bertarikh 9 November lalu mengikut ketetapan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (Enakmen 16 Tahun 2003).

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, atas perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan fatwa yang dinyatakan untuk disiarkan menurut Subseksyen 48 (6) enakmen itu.

“Adalah ditetapkan bahawa penentuan kadar dua marhalah bagi musafir untuk menunaikan ibadah solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqah lain yang memberi keringanan (rukhsoh) adalah 81km,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 25 April tahun lalu, jawatankuasa berkenaan membuat keputusan penetapan kadar dua marhalah adalah 81km setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut.

Penetapan itu selaras keputusan yang dibuat mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 pada 16 hingga 17 Februari 2021.

Ia juga boleh mengikut peta yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) atau peta disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melalui sistem i-PLAN.

Marhalah bermaksud ukuran jarak yang lebih kurang 28 batu atau 45.06km.

Adapun dua marhalah mengikut ukuran sebelum ini antara 85km – 90km atau bersamaan 56 batu.

Show More

Related Articles

Back to top button