Doktor sahkan suami dijangkiti kuman pada paru-paru – Ina Naim
KUALA LUMPUR – Penyanyi nasyid, Suhaimi Saad dilaporkan semakin menunjukkan perubahan baik meskipun masih lagi ditidurkan.
Menurut isteri kepada bekas anggota In-Team itu, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Johor Bahru sejak lima hari lalu kerana jangkitan kuman pada paru-paru.
“Setakat ini, doktor maklumkan suami alami jangkitan kuman pada paru-paru. Hasil ujian pertama, doktor mengesahkan Suhaimi bebas tuberculosis (tibi).
“Untuk sahkan lagi, doktor sudah jalankan ujian kedua, tetapi kami masih menantikan keputusan.
“Buat masa ini, suami masih ditidurkan dan doktor maklumkan keadaannya kritikal, tetapi semalam oksigen berada pada tahap normal, cuma jantungnya masih lagi laju sekitar 130.
“Walaupun doktor mengatakan keadaannya kritikal, tapi saya yakin suami akan sembuh. Saya juga mohon doa orang ramai dapat bersama mendoakan Suhaimi,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Menurut Ina, berat badan suaminya turun mendadak sebanyak 20 kilogram sejak sebulan lalu.
Pada mulanya, kata Ina, Suhaimi mengalami batuk beberapa bulan lalu yang disangkanya hanya batuk biasa.”Kami ingatkan sebab makan buah banyak pada musim buah, baru-baru ini menyebabkan Suhaimi batuk. Namun, lama-kelamaan batuknya menjadi semakin teruk sehingga sesak nafas.
“Bulan lalu, batuknya beransur pulih, tapi mengalami cirit-birit pula. Suhaimi ada selera makan, tapi tak sanggup nak makan kerana setiap kali makan akan buang air besar. Sebab itulah badannya susut sehingga tinggal 43 kilogram.
“Kami sudah ikhtiar macam-macam sehinggalah Suhaimi sendiri minta dihantar ke hospital. Dia bukan tak percaya hospital, cuma itu adalah ikhtiar terakhirnya,” katanya.
Ina yang pernah dikenali menerusi lagu Duhai Hati berkata, bapanya mencadangkan agar Suhaimi mendapatkan rawatan di Johor Bahru.
“Bapa saya cadangkan agar bawa balik Suhaimi jalani rawatan di Johor Bahru supaya mudah jika berlaku apa-apa.
“Keadaan Suhaimi ketika itu lemah dan berikan keizinan untuk ditidurkan untuk kurangkan kesakitan.
“Apa yang buatkan saya optimis Suhaimi boleh sembuh dan sihat kerana salah seorang anggota In-Team, Mohd Syahril juga pernah alami masalah sama, malah lebih teruk lagi.
“Tapi isterinya banyak meniupkan kata semangat. Bila dengar kata-katanya saya tambah semangat dan yakin suami akan sembuh.
“Saya tak minta banyak, hanya nak suami kembali sedar seperti dulu. Banyak lagi yang saya nak cerita dengan suami,” katanya.