Berita Semasa

Dakwaan pembantu rumah Indonesia didera: Imigresen tidak terima laporan

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen memandang serius mengenai isu penganiayaan terhadap pembantu rumah asing (PRA) Indonesia.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, pihaknya tidak berkompromi kepada mana-mana majikan yang mendera, menganiaya serta memanipulasi pekerja asing.

“Jabatan ini akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar
undang-undang dan syarat penggajian PRA. Mereka akan didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan akan disenarai hitam daripada menggajikan PRA,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono dalam satu kenyataan menyatakan isu penganiayaan PRA Indonesia memerlukan penyelesaian segera dan menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun menurut Ruslin, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi daripada Kedutaan Besar Indonesia berkaitan penderaan, penganiayaan dan manipulasi pekerja Indonesia seperti dilaporkan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Jabatan ini mengalu-alukan pihak KBRI untuk mengemukakan aduan secara spesifik supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilaksanakan.

“Jabatan ini sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Majlis Anti Pemerdangan Orang (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menangani isu eksploitasi pekerja asing termasuk dari Indonesia.

“Selain itu, kebajikan dan perlindungan kepada Pekerja Domestik Indonesia merupakan antara perkara yang telah dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia Mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia,” katanya.

Sementara itu Ruslin berkata, jumlah pekerja asing Indonesia yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sehingga 16 Oktober 2023 adalah seramai 447,094 orang.

Katanya, daripada jumlah ini, jumlah PRA
Indonesia adalah berjumlah 57,916.

Show More

Related Articles

Back to top button