Jenayah & Mahkamah

Minta rasuah seks, penjawat awam ditahan SPRM

JOHOR BAHRU – Seorang anggota agensi penguatkuasaan di sini, ditahan kerana disyaki meminta habuan seks sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita yang gagal melapor diri atas kesalahan dadah.

Sumber berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika bersama wanita berusia 20-an itu dalam operasi khas di sebuah hotel di sini, kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Wanita berkenaan dipercayai gagal melapor diri secara bulanan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan dan suspek dikatakan meminta habuan seks bagi mengelak mangsa dikenakan tindakan.

“Wanita berkenaan pernah ditahan atas kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan dua tahun di sebuah agensi penguatkuasaan di Johor Bahru,” lapor Berita Harian yang memetik sumber.

SPRM mendapat perintah tahanan reman empat hari ke atas seorang anggota agensi penguatkuasaan (tengah) yang disyaki minta habuan seks. – FOTO IHSAN SPRM

Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan permohonan reman empat hari bermula hari ini hingga Isnin ini bagi siasatan lanjut.

Permohonan reman dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien, selepas dikemukakan SPRM, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button