Berita Semasa

Lelaki keluar berjogging disamun individu berparang

SHAH ALAM – Akibat bertindak melawan peragut yang cuba merampas beg menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan dalam satu kejadian samun di Seksyen 27, dekat sini pada Khamis.

Gambar kecederaan yang dialami mangsa akibat tindakan ganas peragut tersebut telah tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian 5.50 pagi itu, lelaki tersebut mengalami kecederaan akibat disamun ketika berjogging pada awal waktu pagi di kawasan perumahannya.

Beliau berkata, suspek bersenjatakan parang telah datang ke arah mangsa dengan menaiki sebuah motosikal dan merampas beg milik mangsa.

“Tindakan menarik semula beg yang cuba disamun telah menyebabkan suspek bertindak mencederakan mangsa.

“Mangsa berusia 30 tahun dan bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur telah mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Iqbal Ibrahim

Mohd Iqbal berkata, tiada sebarang kerugian dialami mangsa dan polis menerima laporan yang dibuat oleh kakak mangsa pada 8.30 malam semalam.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.

Sehubungan kejadian itu katanya, pihak polis sedang giat menjalankan risikan bagi mengesan suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Anis Shafika di
talian 011-10951310 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button