Berita Semasa

Belanjawan Selangor 2024 peruntuk RM2.53 bilion

SHAH ALAM – Belanjawan Selangor 2024 memperuntukkan sebanyak RM2.53 bilion merangkumi RM1.33 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, umum Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata, Belanjawan 2024 mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.53 bilion.

Menurut Amirudin, Belanjawan 2024 akan mengalami defisit berjumlah RM330 juta yang lebih rendah berbanding 2023 iaitu pengurangan sebanyak RM120 juta.

“Walaupun melaksanakan Belanjawan Defisit sejak enam belanjawan lalu, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah-langkah mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah munasabah.

“Ia dilakukan menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik tanpa menjejaskan output dan impak perbelanjaan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Tambah Amirudin, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion berdasarkan kepada rekod prestasi sebelum ini hasil berjumlah RM2 billion berjaya dikutip pada Ogos 2022 dan September 2023.

“Antara penyumbang utama kepada hasil negeri 2024 adalah premium tanah iaitu sebanyak RM890.94 juta atau 40.5 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

“Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM622.65 juta atau 28.3 peratus manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM212.96 juta bersamaan 9.7 peratus daripada pendapatan 2024,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button