Jenayah & Mahkamah

‘Saya terima dengan hati terbuka, akan buat rayuan’ – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau menerima keputusan Mahkamah Tinggi hari ini dengan hati yang terbuka, namun akan memfailkan rayuan bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

“Saya terima dengan hati terbuka, saya akur dan faham keputusan hari ini bukanlah keputusan yang mudah ditelan kerana ia keputusan yang mana disabitkan (kesalahan).

“Walaupun dapat penangguhan pelaksanaan hukuman, tetapi saya perlu buat rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan. Namun buat masa ini, saya terima semua hukuman seadanya,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA BERSATU, pagi tadi.

Syed Saddiq berkata, beliau dan barisan peguam akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, pada petang ini.

“Saya telah pun berbincang dengan para peguam dan mereka memaklumkan bahawa kami ada kes yang baik untuk difailkan secepat mungkin ke peringkat Mahkamah Rayuan.

“Ini supaya akhirnya institusi kehakiman dan mahkamahlah yang akan menjadi penentu terakhir nasib saya dan menjadi medan yang terbaik untuk membersihkan nama saya,” katanya lagi.

Berhubung masa depan kerjaya politiknya bersama parti MUDA, Syed Saddiq berkata, beliau akan memberi kata putus mengenainya selepas mesyuarat parti pada petang ini.

“Saya telah membuat pendirian saya berkenaan masa depan politik saya. Cuma ‘as a party’s man’, saya perlu bincangkan dengan parti supaya dapat dimuktamadkan bersama saya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button