Berita Semasa

Luluskan peruntukan RM30 juta, Ahli Parlimen Bukit Gantang sedia sokong PM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memberi sokongan kepada Kerajaan Madani jika permohonan peruntukan RM30 juta di bawah Belanjawan 2024 kepada kawasan Parlimennya diluluskan.

Syed Abu Hussin berkata, permohonan peruntukan itu, antara lain bagi kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Selain itu, katanya, permohonan peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim itu, sebanyak RM16 juta.

“Saya dengan ikhlas menyampaikan suara pengundi dan penduduk Bukit Gantang kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

“Dengan hati yang ikhlas, kalau lulus RM30 juta ini, saya juga nak melihat sejauh mana Kerajaan Madani ini adil dalam memberikan peruntukan.

“Dalam Dewan yang mulia ini, saya mohon jika saya mendapat peruntukan ini untuk dibangunkan kawasan saya, saya akan beri sokongan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan Kerajaan Madani,” katanya.

Syed Abu Hussin berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen BERSATU iaitu dari Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar dan Labuan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia bermula dengan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pada 12 Oktober lalu, diikuti Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pada 30 Oktober lalu, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli), semalam.

Perkembangan terkini itu menyebabkan ramai pemerhati politik menjangkakan lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

Show More

Related Articles

Back to top button