Berita Semasa

Jaga kesihatan mental, emosi ketika layari berita berkenaan Gaza

KUALA LUMPUR – Pengguna platform media sosial diingatkan supaya menjaga kesihatan mental dan emosi masing-masing ketika melayari berita serta gambar berkenaan konflik bersenjata Palestin-Israel di Tebing Gaza.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, turut menasihatkan pengguna yang berasa terganggu dari segi mental dan emosi dengan gambar serta berita yang diterima dari Gaza supaya mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar.

“Waktu ini kita terima banyak berita yang agak hiba dan menyedihkan dari Gaza. Jadi aspek kesihatan mental juga perlu kita tingkatkan kerana kadangkala apa yang kita lihat dalam media sosial itu tidak ditapis.

“Seperti gambar kematian yang mungkin boleh meninggalkan kesan kepada kita apatah lagi golongan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita pada majlis menjelang sambutan ke-50 tahun Hospital Pantai Kuala Lumpur pada 1 Feb 2024, di sini hari ini.

Fahmi secara jujur turut berkata, beliau sendiri turut terganggu terutama dalam minggu-minggu pertama serangan ke atas Gaza bulan lepas.

“Saya sendiri apabila buka Instagram Facebook, Twitter (X) dan TikTok, saya pun tak boleh kawal emosi secara peribadi. Ia amat sedih tengok ibu mendakap anak yang telah meninggal dan jenazah dibawa keluar daripada runtuhan.

“Bila kita lihat (gambar seperti itu) ia akan meninggalkan kesan. Jadi, utamakan kesihatan mental, sekiranya merasakan (gambar dan berita Gaza) mengganggu emosi dapatkan perkhidmatan kaunseling daripada pakar,” katanya.

Menurut Fahmi bagi beliau berita yang memberi kesan mendalam ialah apabila terdapat wartawan yang membuat liputan di Gaza terbunuh.

“Sangat dahsyat. Wartawan pun jadi mangsa,” katanya.

Gaza mula menjadi perhatian dunia termasuk rakyat Malaysia apabila mula diserang rejim zionis pada 7 Okt lepas.

Show More

Related Articles

Back to top button