Politik

Ahli Parlimen Gua Musang dari PN pula umum sokong PM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Azizi berkata, keputusan itu bertujuan memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohon untuk Parlimen berkenaan dalam tempoh perkhidmatannya.

“Selepas meneliti dan mendengar Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan untuk rakyat Malaysia.

“Saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula hari ini.

Azizi

“Keputusan saya ini adalah bertujuan memastikan kebajikan penduduk di Parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang saya mohon untuk di laksanakan di Parlimen saya dalam tempoh penggal perkhidmatan saya.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati parti BERSATU, tetapi melakukannya demi memastikan Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan Kerajaan Persekutuan.

“Adalah wajar untuk saya bersama dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberkati bumi bertuah Gua Musang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana kita harapkan,” katanya.

Pada PRU-15 lalu, Mohd Azizi menang tipis di kerusi itu dengan majoriti 163 undi menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah daripada Barisan Nasional (BN).

Show More

Related Articles

Back to top button