Berita SemasaPM X

PM gesa ketua-ketua jabatan kerajaan teliti teguran LKAN

PUTRAJAYA – Ketua-ketua jabatan kerajaan digesa untuk melakukan penelitian terhadap setiap teguran dan syor yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penelitian itu perlu dibuat bukan sahaja mengenai jabatan itu, malah keseluruhan usul dan cadangan menerusi laporan itu juga harus dilihat agar pengurusan dan pentadbiran dapat diperbaiki.

Kata beliau, penelitian tersebut termasuk penilaian terhadap ketirisan dan kerugian kepada negara yang mencecah berbilion ringgit.

“Saya betul-betul berharap setiap ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua setiausaha kementerian harus meminitkan perbincangan mengenai LKAN supaya disampaikan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Langkah ini supaya dapat dipastikan agar dibincangkan kerangka besar isu laporan dan teguran LKAN dan (apa sahaja terkait) secara khusus yang menyinggung kedudukan di jabatan itu. Dengan cara demikian, ia tidak diulang masalah sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, menerusi laporan tersebut, ada masalah yang dibangkitkan itu masih berulang dan berlaku setiap tahun kerana pemantauan yang lemah.

Justeru, katanya, perhatian serius harus diberikan terhadap setiap teguran dalam LKAN yang dikeluarkan pada setiap tahun.

“Contohnya ada jam yang patut RM400 tapi caj RM4,000. Ada buku sekolah tak sampai kepada pelajar tetapi dibayar (peruntukan itu), perkara begini kadang-kadang berulang kerana pemantauan lemah.

“Ini yang kita kata kerja tanpa nilai. Jadi mudah-mudahan dapat digabungkan (kerja dengan nilai) supaya jangan jadi slogan sahaja, tapi dapat dihayati,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button