Mangsa banjir Bangi dinasihat tidak tinggalkan pusat pemindahan
Situasi masih tidak menentu dengan hujan lebat masih berlaku
BANGI – Mangsa banjir di sekitar Bangi dinasihatkan untuk tidak meninggalkan pusat pemindahan bagi pulang ke kediaman masing-masing meskipun air telah mula surut.
Penyelaras bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat, Siti Hajar Jelani berkata, berikutan situasi yang tidak menentu dengan hujan yang agak lebat, mangsa banjir dinasihatkan untuk terus kekal di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi, dekat sini.
Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Masyarakat JKM Hulu Langat berkata, pihaknya juga masih tidak mengetahui bila tarikh untuk kumpulan mangsa banjir boleh pulang ke kediaman masing-masing.
“Mangsa kemungkinan besar akan dibenarkan pulang setelah pemeriksaan keselamatan dilakukan oleh pihak berwajib.
“Lumpur juga agak tinggi di rumah yang dilanda banjir kerana air naik agak tinggi sehingga paras kepala dan melepasi pagar rumah.
“Selain itu, tekanan air juga masih rendah kerana semua orang menggunakan air dengan banyak ketika ini, seterusnya menyukarkan semua orang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membersihkan rumah-rumah terkena banjir,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Siti Hajar berkata, sebanyak 19 buah keluarga dan 83 mangsa ditempatkan di SK Bangi ketika ini iaitu penduduk di sekitar Bangi Lama.
Menurutnya, penempatan di SK Bangi mempunyai kapasiti kira-kira 350 mangsa dalam satu-satu masa.
Pelbagai kemudahan disediakan termasuk tandas bergerak, khemah bencana, bantal, selimut, sejadah, telekung, tuala wanita, kain pelikat dan kain batik.
Selain itu menurutnya, barangan keperluan bayi seperti susu dan Pampers turut dibekalkan kepada mangsa memerlukan.
Tambahnya, bekalan air bersih turut disediakan oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan penyediaan dua tangki penyimpanan air.