Berita SemasaLuar Negara

WHO kecam kekurangan jaminan keselamatan untuk bawa bantuan ke Gaza

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam kekurangan jaminan keselamatan untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, adalah hampir mustahil mendapatkan bekalan perubatan untuk keperluan hospital pada ketika ini.

Jelasnya, keperluan kesihatan di wilayah Palestin semakin meningkat manakala keupayaan agensi itu untuk membantu semakin perlahan.

Untuk rekod, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu sudah menghantar 54 tan bekalan kemanusiaan ke wilayah itu sejak dua minggu lalu, namun ia kekal tidak menangani skala keperluan di sana.

“WHO akan melakukan segala yang mampu untuk memastikan semua orang di Gaza mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan dan kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa.

“Bagaimanapun, dalam keadaan semasa ia hampir mustahil,” katanya memetik laporan AFP.

Tedros berkata, mereka juga kehilangan kata-kata untuk menggambarkan situasi ngeri di Gaza.

“Keadaan di lapangan tidak dapat digambarkan. Hospital sesak dengan yang cedera, terbaring di koridor; bilik mayat melimpah; doktor melakukan pembedahan tanpa bius.

“Di mana-mana, ketakutan, kematian, kemusnahan, kerugian. Memandangkan keperluan kesihatan meningkat, keupayaan kami untuk memenuhi keperluan itu juga semakin perlahan.

“Sudah terlambat untuk membantu orang mati sekarang. Tetapi kami boleh membantu mereka yang masih hidup,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan pula menyifatkan situasi yang berlaku di Gaza ketika ini adalah ‘tidak wajar’ susulan tahap keselamatan asas kakitangan kesihatan di Gaza tidak dapat dijamin pada masa ini.

Beliau berkata, pertubuhan itu sebelum ini tidak pernah berasa sukar untuk mewujudkan peraturan asas pembabitan berhubung jaminan keselamatan minimum untuk anggota kemanusiaannya.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam konflik untuk membenarkan hospital di sana dibekalkan keperluan semula,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button