
Kumpulan pertama bantuan Malaysia untuk Gaza diterbangkan malam ini
SEPANG – Kumpulan pertama bantuan Malaysia untuk diberikan kepada mangsa perang di Gaza akan mula diterbangkan menerusi satu penerbangan sewa khas di sini, lewat malam ini.
Penghantaran bantuan melibatkan pelbagai barangan berjumlah 20 tan daripada keseluruhan 50 tan yang berjaya dikumpul 44 buah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan menerusi Ops Ihsan itu akan diterbangkan terus ke Al-Arish, Mesir sebelum dibawa pula dengan sejumlah trak ke wilayah Gaza.
Berdasarkan tinjauan Malaysia Tribune di terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kerja-kerja pemunggahan barangan telah bermula jam 9 malam tadi.
Barangan bantuan tersebut akan dibawa menggunakan sebuah pesawat Boeing 737-81Q milik syarikat kargo udara tempatan, World Cargo Airline Sdn. Bhd. dengan plat pendaftaran 9M-WCA.
Turut hadir menyempurnakan acara pelepasan pada malam ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Untuk rekod, nilai keseluruhan barangan bantuan yang dihantar adalah sebanyak RM7 juta dan Ops Ihsan yang dilancarkan pada bulan turut mendapat dukungan daripada Kementerian Luar.
Penghantaran kali kedua dijadualkan pada minggu hadapan dan akan diserahkan kepada pihak Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama yang menyelia penghantaran melalui sempadan Rafah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |