Berita Semasa

Kad diskaun khas bagi peniaga Menu Rahmah diperkenalkan esok

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan kad diskaun khas untuk peniaga Menu Rahmah mulai esok.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi kad tersebut, peniaga yang terlibat boleh membeli bahan mentah dengan potongan harga.

Jelasnya, potongan harga itu melibatkan enam pasar raya yang menjalin kerjasama dengan kementerian tersebut.

“Esok saya akan turun bersama Timbalan Menteri (KPDN) bagi satu inisiatif terbaharu iaitu penawaran kad diskaun rahmah kepada pengusaha kafe dan restoran terlibat.

“Ia sebagai insentif kepada mereka yang menyokong usaha kerajaan selama ini,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Armizan berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 mewakili KPDN.

Menu Rahmah merupakan inisiatif bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dilancarkan pada 31 Januari tahun ini bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Menerusi program tersebut, restoran atau kafe yang mengambil bahagian dalam menjual sajian atau menu dengan tawaran harga RM5.

Show More

Related Articles

Back to top button