Berita Semasa

Perkataan kafir tidak bawa maksud penghinaan

IPOH – Masyarakat bukan Islam tidak perlu tersinggung dengan perkataan kafir kerana ia tidak membawa sebarang maksud penghinaan.

Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Datuk Zamri Hashim berkata, dalam bahasa Arab, al-kufr membawa maksud ‘menutupi sesuatu’.

Zamri menjelaskan, manusia yang masih belum membuka hatinya dan masih kekal menutupi sanubarinya untuk menerima Islam sebagai agama, mengesakan Allah SWT, mengimani Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir itu dinamakan kafir.

“Perkataan kafir itu sendiri sesekali tidak membawa maksud penghinaan yang perlu ditakuti. Bahkan di dalam al-Quran sendiri ada surah khas yang dinamakan sebagai surah Al-Kafiruun.

“Surah ini sangat mudah difahami. Orang Islam dan bukan Islam boleh terus memahaminya walaupun hanya membaca terjemahannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Secara kesimpulan, jelas Zamri lagi, perkataan kafir itu merupakan istilah al-Quran yang tidak mengandungi apa-apa maksud penghinaan bahkan satu istilah pengenalan bagi golongan yang masih menutup hatinya menerima Islam.

Menurutnya, kesudahan orang kafir selepas mati itu adalah kepercayaan umat Islam dan juga tidak mampu dipaksa untuk dipercayai oleh orang bukan Islam sebagai mana kepercayaan agama lain yang tidak boleh memaksa orang Islam mempercayainya.

Beliau berkata, penjelasan tersebut diharap dapat memperbetulkan salah faham mengenai maksud perkataan kafir tersebut selepas terdapat video tular di aplikasi TikTok berhubung isu tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button