Luar Negara

Dua tebusan warga AS dibebaskan

SEMENANJUNG GAZA – Pejuang Hamas pada Jumaat membebaskan dua rakyat Amerika Syarikat (AS) berketurunan Yahudi sekali gus membayangkan lebih ramai lagi tebusan akan dibebaskan.

Kedua-dua tawanan tersebut, Judith Tai Raanan dan anak perempuannya, Natalie Shoshana Raanan merupakan antara kira-kira 200 tebusan yang ditawan dalam serangan mengejut pada 7 Okt lepas di Israel.

Dua beranak itu dilaporkan kembali ke Israel semalam, menurut kerajaan Israel.

Bagaimanapun, tiada butiran diberikan mengenai keadaan mereka tetapi Presiden AS, Joe Biden melahirkan rasa gembira dengan berita berkenaan.

Kumpulan Hamas berkata, mereka bekerjasama dengan Qatar dan Mesir untuk membebaskan tebusan orang awam.

“Berikutan pendekatan Qatar dan Mesir, Briged al-Qassam membebaskan dua warga Amerika atas sebab kemanusiaan,” kata kumpulan pejuang dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 20,000 penduduk Israel di kawasan berhampiran sempadan Lebanon di utara diarah pindah susulan ketegangan ekoran pertempuran antara tentera rejim Zionis dan pejuang Hezbollah.

Pada masa sama, Kedutaan AS dan Britain di Beirut turut meminta rakyatnya meninggalkan Lebanon.

Kedua-dua negara juga sudah mengeluarkan amaran kepada rakyat masing-masing supaya tidak melakukan perjalanan ke Lebanon.

Kedutaan AS dalam satu kenyataan menasihatkan warganya di Lebanon meninggalkan negara itu dengan penerbangan komersial.

Amaran sama turut dikeluarkan Kedutaan Britain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button