Berita SemasaPM X

PM tiba di Riyadh bagi hadiri Sidang Kemuncak Pertama Asean-GCC

RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di sini, pada Khamis bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Memetik laporan Bernama, pesawat yang membawa Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, kira-kira 35 kilometer di utara Riyadh, pada 8.15 malam waktu tempatan (1.15 pagi, 20 Oktober waktu Malaysia).

Ketibaan Anwar dan delegasi Malaysia disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Riyadh menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Pemimpin Asean-GCC pada Jumaat di Hotel Ritz-Carlton dan Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan yang antaranya mengetengahkan konflik semasa Israel-Palestin.

Pemerintah Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh tiba di sini semalam untuk menghadiri sidang kemuncak itu.

GCC adalah pakatan politik dan ekonomi yang dibentuk oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.

Asean dan GCC menjalin hubungan pada 1990 susulan hasrat blok negara-negara teluk itu mewujudkan hubungan rasmi dengan rantau Asia Tenggara.

Kedua-dua blok serantau itu kemudian mengadakan mesyuarat sulung di peringkat menteri pada 2009. Kesemua enam negara anggota GCC juga telah menyertai pakatan tidak agresif Asean iaitu Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Malaysia adalah penyelaras Asean bagi Sidang Kemuncak Asean-GCC, yang bertujuan mengoptimumkan kerjasama antara kedua-dua pertubuhan serantau itu.

Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan konflik Israel-Palestin dan mencari jalan untuk menoktahkan penderitaan penduduk Gaza, susulan tindakan ketenteraan terkini oleh rejim Zionis.

Show More

Related Articles

Back to top button