Berita SemasaPM X

PM beri ingatan agar dana Palestin diurus dengan cekap, jangan ambil kesempatan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengumpulan dana bagi Palestin agar tidak mengambil kesempatan atas konflik yang berlaku di negara tersebut pada ketika ini:

Tegas Anwar, wang yang dikumpul menerusi dana awam harus diurus dengan cekap agar dapat disalurkan kepada mangsa perang di Palestin.

“Saya nak nasihat rakan-rakan di masjid, surau atau orang kutip wang mesti ada pertanggungjawaban. Dia ada peraturan, diurus cekap, jangan ambil kesempatan bina mahligai masing-masing.

“Badan-badan sukarela masing-masing dan membelanjakan begitu tinggi keindahan pejabat padahal dana ini untuk bantuan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alimin serta Duta-duta perwakilan asing.

Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) berjaya mengumpul RM71 juta daripada sumbangan 46 syarikat bukan kerajaan, swasta dan individu, manakala RM10 juta disalurkan oleh kerajaan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut mengingatkan rakyat Malaysia agar menggunakan saluran yang betul sebelum melakukan sumbangan bagi Palestin.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia sila gunakan saluran yang betul untuk menyumbang.

“Berdasarkan pengalaman lalu, ada dana yang dikumpul tapi tidak diurus dengan cekap,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button