
Tunjuk bukti MP Kuala Kangsar diugut sokong kerajaan – PM
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin atas dakwaannya yang mengatakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut untuk menyokong kerajaan.
Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu dakwaan serius dan Hamzah perlu mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa bagi siasatan dijalankan.
“Kalau ada bukti, dia patut keluarkan (bukti). Jangan pakai bebal saja.
“Kalau ada (bukti), ini satu tuduhan yang serius. Dia patut buat laporan agar ada siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Dakwa Hamzah, pada 1 Oktober lalu, wakil rakyat itu dipercayai dibawa bertemu dengan seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media berkenaan.
Katanya, malah sebelum itu pada 26 September lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkenaan juga didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.
Mengulas lanjut, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Iskandar Dzulkarnain yang membuat kenyataan menyokong kepemimpinannya.
“Saya belum menghubungi beliau dan telefon untuk jumpa, lihat kepada kenyataan saya ucap terima kasih beliau beri sokongan. Soal beliau hendak kekal dengan PN , itu keputusan beliau.
“Tapi saya fikir bila orang lihat yang kita lakukan atas dasar ekonomi dan merakyatkan, ia satu hubungan yang baik,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |