Berita Semasa

KPKT beri amaran pemilik rumah, premis sewa bilik saiz ‘liang lahad’

IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran kepada pemilik premis atau rumah yang melakukan ubahsuai dengan menambah ruang untuk dijadikan bilik sewa seakan ‘liang lahad’ demi mengaut keuntungan semata-mata.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata KPKT dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang masih berdegil.

“KPKT mengambil pendirian tegas dan memberi amaran kepada semua pemilik rumah yang melakukan ubahsuai sedemikian yang tanpa kebenaran PBT, agar mereka mengubah semula kepada bentuk asal, atau tindakan tegas bakal diambil.

“Perbuatan itu melanggar Seksyen 79 Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang mana perbuatan mengubah struktur sedemikian mesti selepas mendapat kebenaran bertulis daripada PBT selain peruntukan bahawa PBT boleh memasuki premis itu bagi mengubahnya semula kepada bentuk asal,” katanya memetik laporan Bernama.

Terdahulu, Kor Ming menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pihaknya mendapati kegiatan mengubahsuai sedemikian semakin berleluasa khususnya di kawasan bandar hingga ada sebuah premis kedai di ibu negara telah diubah suai dengan menambah 38 bilik dan disewakan dengan kadar RM300 sebulan.

Lebih menyedihkan, penyewa hanya boleh baring dan duduk sahaja susulan ruang bilik sewa tersebut yang terlalu kecil.

Kor Ming berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya, situasi sedemikian tidak hanya berlaku di ibu kota atau Lembah Klang sebaliknya turut meliputi kawasan semua 20 bandaraya yang ada di negara ini termasuk Ipoh.

Katanya, perbuatan itu, selain boleh menjejaskan kesihatan mental apabila mengundang klaustrophobia atau fobia kepada tempat sempit, selain mengundang bahaya terutama dari aspek keselamatan kebakaran.

“Kita harus mengambil iktibar daripada kejadian kebakaran membabitkan sebuah sekolah tahfiz pada 2016 yang meragut 21 nyawa pelajar sekolah itu, memandangkan bangunan yang diduduki mereka ketika itu tiada kebenaran dari PBT. Kita takuti nanti ada pula kedai (premis) yang sebegini dan 38 orang pula mati.

“Sekiranya hendak buat pengubahsuaian, sila mohon kepada PBT dan tidak membuat pembahagi yang berlebihan dan keterlaluan sehingga membahayakan nyawa penyewa.

“Saya sudah berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan memang bomba juga memandang serius masalah ini. Tindakan undang-undang akan disusuli jika keadaan tidak bertambah baik,” katanya lagi.

Beliau berkata, sebarang aduan berkaitan isu itu boleh disalurkan secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA).

Show More

Related Articles

Back to top button