Berita Semasa

Final Pestabola Merdeka kekal di Stadium Bukit Jalil

KUALA LUMPUR – Perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan Tajikistan kekal akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, keputusan ini dibuat menerusi mesyuarat yang diadakan sejurus pemeriksaan keadaan terkini padang di stadium tersebut, tengah hari tadi.

Katanya, selepas penelitian dan penilaian dari aspek teknikal dilakukan, stadium itu boleh digunakan untuk aksi akhir, Selasa ini.

“Selain itu, keputusan tersebut turut mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan lain termasuk dari aspek logistik membabitkan sekretariat, petugas serta pasukan yang terlibat, selain tiada venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jangkaan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya.

“Biarpun keadaan padang baharu Stadium Nasional tidak begitu memuaskan sewaktu perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023, Malaysia melawan India pada Jumaat lalu, FAM yakin dan percaya bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya mampu untuk membaikpulih keadaan rumput tersebut menjelang Selasa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon yang turut hadir melakukan pemeriksaan di padang Stadium Nasional berpandangan dari segi teknikal melihat bahawa padang tersebut boleh dimainkan.

Malah katanya, Pan Gon juga berasakan adalah lebih baik aksi final kekal di Stadium Nasional supaya tidak mengganggu fokus dan persiapan pasukannya.

“Mungkin atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan terutama dari segi tempoh masa, keadaan padang baharu ini tidak cukup sempurna seperti yang semua harapkan untuk diguna pakai pada Pestabola Merdeka 2023 ini, namun ia masih tetap lebih baik berbanding rumput cow grass yang digunakan sebelum ini.

“Dengan mengambil kira bahawa Stadium Nasional ini merupakan ‘ ‘Home of Harimau Malaya’ dan jumlah penjualan tiket aksi final yang sudah melebihi 10,000 penonton setakat ini, tiada venue lain di sekitar Lembah Klang yang mampu untuk menampung kapasiti tersebut kecuali Stadium Nasional.

“Malah jika dipindahkan aksi final ke Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, ia akan menimbulkan lebih masalah dan kesulitan kepada para penyokong setia Harimau Malaya yang telah pun membeli tiket-tiket tersebut kerana majoriti mereka berada di Lembah Klang,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button