Berita Semasa

Kita tiada beza, awak juga cuci kaki masuk rumah – ibu Shila Amzah sindir menantu

KUALA LUMPUR – Pergolakan yang melanda keluarga penyanyi terkenal, Shila Amzah seperti tiada kesudahan apabila ibunya Fauziah Sarman tampil menyindir menantunya, Ubai yang didakwa menumpang kemewahan anaknya.

Fauziah meluahkan perasaan itu dalam satu hantaran dalam laman Instagram miliknya.

Namun begitu hantaran tersebut telah dipadamkan selepas menerima banyak komen berbaur negatif.

“Untuk ‘orang luar’ yang baru memiliki Nurshahila terima kasih membuat kesimpulan yang hanya memenangkan diri kalian.

“Kita tiada beza, awak juga cuci kaki masuk rumah. Hati mak memang sudah dikisar halus. Mak bersuara demi maruah mak.

“Banyak rahsia yang mak simpan sorok selama ini demi namamu sebagai bintang popular,” katanya dalam Instagram tengah malam tadi.

Pada masa sama, Fauziah yang sebelum ini hanya mendiamkan diri ketika anak-anaknya berbalah menjelaskan tidak pernah menghalang Shila menjual rumah pusaka yang didiami keluarganya.

Menurut Fauziah, dia sedar kediaman tersebut merupakan milik Shila dan akui penyanyi itu mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja yang dikehendakinya.

Bagaimanapun, Fauziah berkata Shila pernah berjanji untuk membenarkan dia menetap di kediaman itu selama-lamanya.

“Mak tidak pernah bantah andainya ‘rumah keluarga’ yang dilabel sendiri Nurshahila sebagai ‘rumah pusaka’ untuk dijual kerana mak sedar diri, rumah itu atas nama anak emak yang popular.

“Tak perlu mengingatkan mak berkali-kali tentang itu kerana terserah untuk Nurshahila buat apa sahaja kerana ya rumah ini atas nama Nurshahila.

“Walaupun tahun lepas ketika abah lari, Nurshahila pernah cakap mujur rumah ni atas nama Shila, biarlah kekal jadi rumah pusaka, mak tinggal sampai bila-bila, jangan kisah abah tak ada, orang boleh sara mak. Ini janji Shila pada mak,” luahnya lagi.

Ibu tunggal kepada empat anak itu turut mendakwa Shila mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya disebabkan perbalahan yang berlaku berhubung isu rumah berkenaan.

“Disebabkan rumah pusaka ni juga tergamak Shila mengeluarkan kata-kata kesat pada mak, tak tergamak mak nak tulis kata-kata itu. Allahuakhbar. Ya benar memang Shila tak halau mak tapi kata-kata Shila mak faham,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button