Berita Semasa

Tawaran pinjaman ‘ah long’ yang lebih menarik antara punca kegiatan sukar dibanteras

KUALA LUMPUR – Kegiatan ah long atau ceti haram sukar dibanteras berikutan tawaran pinjaman mereka masih mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, tarikan kepada tawaran disediakan peminjam tanpa lesen itu lebih mudah berbanding yang disediakan institusi perbankan dan peminjam kewangan berlesen.

“Hal ini juga disebabkan kesukaran masyarakat untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan serta juga institusi kewangan berlesen (atas faktor kurang kelayakan), maka kegiatan ah long berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh [PN-Besut] semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Mohamad terdahulu bertanya mengenai usaha kerajaan mengatasi kes keganasan membabitkan ah long memandangkan semakin banyak kes menunjukkan mereka merosakkan harta benda orang awam sewenang-wenangnya.

Tambah beliau, rekod pada 2021 menunjukkan 1,067 kes tangkapan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan Seksyen 29(a) Akta 40.

“Pada 2022 pula, jumlah kes adalah 1,009 dan tangkapan juga dibuat sebanyak 1,262 dengan kerajaan turut melaksana pelbagai kaedah untuk memastikan berkaitan kegiatan Ah long dapat ditangani.

“Antaranya kerajaan tingkatkan keupayaan PDRM untuk tangani isu ini termasuk (pemantauan) menggunakan media sosial. Ah long sudah berubah, dulu tampal iklan di stesen bas dan kawasan awam, tetapi kini sudah beralih menggunakan media sosial.

“Di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, kita sudah ada unit korporat siber untuk tingkatkan usaha menangani kes ini, selain kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa [BN-Tampin], kementerian menyedari isu Ah long besar dan mencabar untuk ditangani, namun buat masa ini tindak balas dilakukan agensi penguatkuasa tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Show More

Related Articles

Back to top button