Berita Semasa

Malaysia kekal pendirian Palestin perlu bebas, merdeka

Perjuangan bebaskan tanah dan hak rakyat Palestin tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar kerajaan

KUALA LUMPUR – Malaysia berpendirian hak mutlak rakyat Palestin yang bebas daripada pendudukan haram Israel perlu dikembalikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Palestin mempunyai hak membentuk negara merdeka serta berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Kata Ahmad Zahid, perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar kerajaan Malaysia, dan negara akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

“Penyelesaian ini bagaimanapun hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) serta memenuhi teras-teras yang dinyatakan dahulu.

“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” kata Ahmad Zahid ketika memberi perkembangan semasa konflik Palestin-Israel melalui sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Pendirian lantang dan tegas Malaysia kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan PBB.

Tambah Ahmad Zahid, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada 22 September lalu dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.

“Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai lalu mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 1967.

“Selain bantuan dari kerajaan, kita juga turut membantu menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada dana yang dikumpul dari sumbangan awam melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendali oleh Kementerian Luar,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button