Berita Semasa

Roger Ng sudah tiba di Malaysia – KPN

CYBERJAYA – Bekas ketua pelaburan Goldman Sachs, Roger Ng dilaporkan sudah berada di Malaysia.

Laporan Utusan Online menyebut, keberadaan Roger disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi.

Razarudin bagaimanapun enggan mengesahkan lokasi terkini Roger atas faktor keselamatan.

Beliau menambah, Roger tiba di negara ini tengah malam tadi bagi membantu proses siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dalam proses mendapatkan kembali aset membabitkan dana itu.

“Saya sahkan, dia sudah berada di negara ini,” katanya secara ringkas.

Kelmarin, laporan media menyebut beberapa agensi penguat kuasa Malaysia sedang menunggu kepulangan Roger yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Amerika Syarikat (AS) bagi melengkapkan siasatan masing-masing membabitkan skandal 1MDB.

Antara agensi dijangka memerlukan maklumat atau menyiasat sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Roger akan tiba di Malaysia tengah malam tadi.

Saifuddin berkata, tempoh berapa lama Roger berada di Malaysia adalah bergantung kepada proses siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button