Berita Semasa

Mufti, agamawan disaran kuasai media sosial

Masyarakat kini gemar gunakan platform berkenaan sebagai sumber rujukan

KUALA KANGSAR – Para mufti dan agamawan disaran supaya menguasai media sosial kerana platform itu gemar dijadikan tempat rujukan oleh masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ketika ini begitu banyak isu yang menyentuh agama disebarkan dan dikongsi di media sosial tanpa rujukan yang betul menyebabkan sebahagian masyarakat terutama generasi muda terkeliru dan bercelaru.

“Islam sesuai untuk tempat dan juga zaman. Dalam konteks sekarang, zaman ini adalah zaman teknologi. Sama ada kita suka atau tidak, ini memang zaman teknologi yang telah berubah begitu pantas.

“Jadi kalau golongan agamawan tidak mengambil pendekatan untuk mempelajari perkembangan media sosial yang begitu cepat bergerak, kita akan ketinggalan. Anak-anak muda terbiasa dengan teknik menerima apa sahaja yang disampaikan kepada mereka melalui media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani yang diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.

Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Naib Canselor USAS, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof.

Mohd Na’im berkata, kegagalan golongan ulama dan ilmuan ke hadapan memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat hanya akan membuka ruang pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi keadaan.

Beliau memberi contoh, perkara melibatkan sensitiviti agama dan isu semasa, kehadiran pihak tertentu termasuk ahli politik yang tampil memberi penerangan hanya menyebabkan masyarakat berpecah belah disebabkan pandangan yang berbeza.

Show More

Related Articles

Back to top button