Berita Semasa

Empat sekeluarga hilang, polis sahkan sudah terima laporan

BESUT – Polis mengesahkan telah menerima laporan empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian di sini.

Laporan Sinar Harian menyebut Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad sebagai berkata, laporan berhubung kehilangan mangsa dibuat pengadu pada Isnin setelah gagal menghubungi mereka sejak 30 September lalu.

“Siasatan telah dijalankan dan mendapati kesemua mangsa yang merupakan dua anak, ibu serta adik lelaki pengadu telah pergi ke Pulau Perhentian pada 29 September lalu dan telah menginap di Senja Bay Resort sebelum mendaftar keluar jam 8 pagi pada 1 Oktober lalu.

“Siasatan juga mendapati kesemua mangsa ada mengikuti aktiviti snorkeling pada 29 dan 30 September lalu dan pengendali bot memaklumkan telefon ibu dan adik pengadu telah terkena air dan tidak dapat dihidupkan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, mangsa telah menaiki bot sekitar pukul 8 pagi dan tiba di jeti Kuala Besut sekitar pukul 9 pagi, siasatan mendapati mangsa ada memberitahu akan ke Batu Buruk di Kuala Terengganu setelah keluar dari Pulau Perhentian.

“Pihak polis diberitahu mangsa menggunakan kereta jenis Proton Saga BLM warna biru muda dengan nombor pendaftaran JRW6380.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan yang digunakan mangsa telah dikesan bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah jambatan Seberang Kastam sekitar pukul 10.06 pagi pada 1 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini kesemua mangsa masih gagal dihubungi dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan kesemua mangsa,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nur Izzati Arina di talian (017-3792157) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut (09-6956222) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Katanya, orang ramai diberi amaran agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang akan mengganggu siasatan.

Insiden kehilangan tersebut menjadi tular di media sosial sejak semalam, setelah dikongsikan seorang pemilik akaun Facebook yang meluahkan kebimbangan mengenai kehilangan dua anak, ibu serta seorang adik lelakinya yang gagal dihubungi sejak Sabtu lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button