Politik

Tolong lantik Dr Akmal barisi Kabinet – ADUN Gemencheh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO yang juga EXCO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh seharusnya diberi peluang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri jika berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, satu perubahan perlu dilakukan segera dan pemimpin muda seperti ADUN Merlimau itu wajib diangkat sebagai pelapis negara selepas terbukti berjaya memperjuangkan nasib rakyat di Melaka.

“Presiden UMNO perlu bawa nama Ketua Pemuda UMNO untuk menganggotai Kabinet kali ini. Rejuvenasi Kabinet perlu dilakukan segera dan pemimpin muda sebegini wajib di ketengahkan sebagai pelapis negara.

“Orang muda dengan pandangan dan matlamat yang jelas perlu diangkat bagi membantu rakyat. Dengan latar rekod dan bukti yang ada jelas beliau banyak membantu rakyat tanpa mengira golongan dan mengikut saluran yang betul. Malah, beliau juga banyak membuat kerja tanpa protokol yang ketat demi untuk memudahkan rakyat,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Mengulas lanjut katanya, isu kekurangan beras tempatan di pasaran menjadi bukti EXCO Melaka itu mampu menanganinya dengan baik

Beliau berkata, krisis beras yang berlaku di dalam negara sekarang memerlukan seorang pemimpin yang tegas dan cekap untuk menyelesaikannya.

“Krisis beras di negara ini semakin meruncing. Menteri cakap bekalan cukup tapi perlu ambil masa. Hakikatnya, beras tiada di kedai dan rakyat masih susah untuk mendapatkan beras tempatan.

“Kalau isu melibatkan beras ini memerlukan akta baru, menteri perlu tegas untuk bentangkan usul tergempar. Panggil sidang tergempar dan pastikan isu ini diselesaikan segera.

“Kalau dulu menteri boleh setuju untuk menggantung Parlimen dan belanja wang negara berbilion-bilion ringgit ketika Covid-19, kenapa hari ini payah sangat nak buat suatu perkara yang melibatkan kocek dan perut rakyat,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button