Berita Semasa

Kerja robohkan Stadium Shah Alam dijangka bermula selewatnya November

SHAH ALAM – Stadium Shah Alam dijangka akan dirobohkan pada Oktober atau awal November nanti setelah menerima kelulusan permohonan Kebenaran Merancang (KM), kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Stadium yang menjadi salah satu mercu tanda Selangor itu akan diganti dengan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) setelah dirobohkan.

“Sekarang saya tengah tunggu KM… KM dapat, kita akan laksanakan (perobohan) tahun ini.

“Sudah tentu, stadium akan dirobohkan tahun ini. Jika tidak awal Oktober, pada akhir Oktober atau mungkin awal November ini.

“Itu sasaran kita, insya-Allah, tahun ini kita akan mulakan perobohan dan 2026 akan siap,” kata Amirudin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini perobohan stadium itu ketika ditemui pada majlis perasmian Selangor Property Expo 2023 Anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS), di sini hari ini.

Laporan media pada Jun menyebut, kerajaan negeri sudah menghantar pemohonan KM untuk kerja merobohkan stadium tersebut.

Kerajaan negeri juga dilapor mengumumkan yang mercu tanda Selangor dan fasiliti sekitarnya akan berwajah baharu, menerusi kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang kosnya dianggar RM787 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button