Berita Semasa

Angkat martabat umat, PM seru pegawai agama beri kefahaman Islam yang tepat

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peranan pegawai dan kakitangan hal ehwal agama dan agensi sangat instrumental dalam meratakan kefahaman Islam yang tepat serta mengangkat martabat umat.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya melalui konsep Malaysia Madani yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan, perkhidmatan hal ehwal agama boleh memberi sumbangan yang lebih kepada negara.

“Kerajaan Perpaduan percaya melalui kompas tujuan yang jelas bersandarkan konsep Malaysia Madani, perkhidmatan hal ehwal agama boleh memberi sumbangan yang lebih signifikan dalam membina Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran dalam laman rasmi Facebooknya hari ini.

Semalam Perdana Menteri menghadiri Siri Majlis Ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya di sini.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Nai’m Mokhtar.

Siri Majlis Ilmu Madani itu diteruskan dengan tausiah dari Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah dan diikuti dengan dialog saya bersama Pegawai Hal Ehwal Agama dan wakil agensi agama.

Dalam pada itu, Anwar juga sempat berkongsi dan mengajak hadirin mengimbau sejarah pengungkapan istilah masyarakat Madani seawal 1998, sehingga terluncur gagasan Malaysia Madani sebagai sebuah agenda negara.

“Kesempatan yang sama, saya tekankan kepentingan nilai dan akhlak yang merupakan kelompongan besar yang harus digarap dalam pembinaan negara, tamadun dan peradaban seperti mana yang ditekankan oleh Syeikh Taha Jabir al- Alwani dan Malik Bennabi.

“Hatta hal yang sama, yakni ledakan pancaran hati nurani yang suci (habit of the heart ) turut ditekankan oleh pemikir Barat Alexis de Tocqueville sewaktu menyentuh keruntuhan moral dan nilai di Amerika Syarikat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button