Berita Semasa

Kementerian Kewangan pulangkan semula aset TH – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) kepada TH.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dibuat selepas MOF berpuas hati dengan isu pengurusan dan tata kelola yang berbangkit sebelum ini, selain prestasi kewangan TH yang terus memulih.

Beliau berkata, penyerahan semula aset TH itu juga membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan dibawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.

“Selepas meneliti, saya sudah beritahu dari awal sejak ambil jawatan ini, sebaik TH diurus dengan baik dan menyakinkan, maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanhkan kepada SPV kepada TH.

“Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan ketika itu kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Turut sama hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perbincangan antara pihak terkait termasuk TH dan MOF akan dijalankan bagi menyelesaikan segala urusan pemindahan semula aset berkenaan.

“Kita sudah mula dan arah berbincang, mungkin diambil secara berperingkat untuk pastikan pemulangannya itu baik tetapi ia sendirinya menjawab segala tohmahan dan fitnah sebelum ini bertahun-tahun dan berbakul-bakul fitnah mengatakan ia dijual.

“Ia tidak dijual, masih kekal dan sebagai satu amanah, sekarang (MOF) sedang berunding dari segi kos dan tanggungan semuanya,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai nilai aset berkenaan, Anwar berkata ia akan diumumkan kemudian kerana terdapat perkara yang perlu diselesaikan.

Pada Disember 2018, TH memindahkan aset yang tidak menguntungkan kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV sebagai langkah untuk memantapkan kedudukan kewangannya.

Show More

Related Articles

Back to top button