Berita Semasa

Contohi akhlak Rasulullah yang tidak pernah mencela, fitnah, memaki – PM

PUTRAJAYA – Keindahan pekerti dan akhlak Rasulullah SAW yang tidak pernah mencela, memfitnah atau memaki hamun sesiapa adalah contoh terbaik untuk dijadikan ikutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun diasak oleh musuh, baginda tetap tekal menyebarkan risalah tauhid.

“Terbugar rasa kasih dan hormat kepada junjungan baginda Rasullah SAW tatkala menghimbau detik kelahiran agung tanggal 12 Rabiulawal.

“Berhasil menjadi tauladan buat umat manusia agar tekal menyebarkan risalah tauhid meski diasak musuh sepanjang siang dan malam dari segenap penjuru.

“Maka, keindahan pekerti dan akhlak Rasulullah SAW selaku uswatun hasanah, atau contoh terbaik menjadi ikutan.

“Tidak mencela, apatah lagi memfitnah atau memaki hamun terhadap sesiapa pun. Dakwah Baginda mendobrak asabiyyah dan kejumudan, membimbing umat Madinah yang bhineka menuju cahaya keadilan dan ihsan,” katanya dalam perutusan Maulidur Rasul 1445H yang dikongsi di laman Facebook malam tadi.

Sementara itu, Anwar juga menyeru semua pihak untuk menghayati ibrah atau kisah perjuangan baginda dalam menyebarkan dakwah serta memimpin dan menyatukan semua kaum ketika itu.

“Menghayati ibrah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam memimpin dan menyatukan pelbagai kaum tentunya akan membangkitkan rasa keinsafan untuk sama-sama membangunkan negara tercinta ini sebagai sebuah negara yang adil, aman dan sejahtera, lantas beroleh barakah daripada Allah SWT.

“Moga Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraan yang berterusan buat Baginda Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button