Berita Semasa

Kes sos cili, polis kesan lelaki bantu siasatan

Terdapat beberapa versi kejadian daripada pihak terlibat

MELAKA – Polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung perselisihan faham berkaitan pembelian sos cili di sebuah restoran makanan segera di Taman Buaya di sini, pada 22 September lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya perlu merakam percakapan lelaki berusia 45 tahun itu bagi membantu siasatan.

Tambahnya, ketika ini terdapat beberapa versi berhubung kejadian itu daripada kedua-dua pihak.

“Kita telah menerima laporan polis yang dibuat pekerja wanita restoran makanan segera berkenaan di Balai Polis Ayer Keroh pada 7.16 malam semalam (Selasa), kerana berasa terancam dan risau akan keselamatan dirinya selepas pelanggan lelaki berkenaan merakam insiden itu.

“Rakaman percakapan wanita tersebut juga telah diambil semalam, selepas beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kata Christopher, siasatan awal mendapati, versi kejadian yang dilaporkan lelaki berkenaan ialah beliau diminta membayar sos cili tambahan yang diminta, walaupun telah membeli makanan di restoran tersebut.

“Versi kedua iaitu dari pihak pekerja wanita berkenaan pula ialah, beliau dipaksa lelaki tersebut untuk menjual 10 peket sos cili, walaupun telah diterangkan bahawa tiada pembelian sos cili dibenarkan, kerana ia diberikan secara percuma oleh pihak restoran makanan segera itu.

Christopher seterusnya menambah, wanita itu juga turut dimarahi dan ditengking lelaki terbabit dalam kejadian antara 10 hingga 11 malam, 22 September lepas.

Tiada kecederaan atau kerugian dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana ugutan jenayah.

Show More

Related Articles

Back to top button