Berita Semasa

Malaysia antara 10 negara paling banyak buang sampah plastik ke laut

CYBERJAYA – Malaysia berada dalam kedudukan 10 negara teratas di dunia paling banyak membuang sisa plastik ke dalam laut.

Dapatan itu terkandung dalam satu kaji selidik Utility Bidder, iaitu pihak pembekal perkhidmatan keperluan tenaga di United Kingdom (UK).

Kaji selidik itu mendapati, Malaysia membuang kira-kira 2.29 kilogram (kg) plastik bagi setiap seorang setiap tahun, ke dalam laut.

Dalam carta 10 teratas itu, hanya Filipina dan Malaysia negara dari blok Asia Tenggara, manakala lain-lain dari rantau Afrika dan Amerika Selatan.

Kaji selidik itu mendapati, Malaysia berada pada kedudukan kelima, di belakang Saint Lucia (keempat), Trinidad dan Tobago (ketiga), Suriname (kedua) dan Filipina (pertama).

Filipina yang berada di tangga teratas, membuang sampah sebanyak 3.30 kg setiap seorang tiap hari ke dalam laut, diikuti Suriname di benua Amerika Selatan (2.89 kg); Trinidad and Tobago (2.55 kg) dan Saint Lucia (2.45 kg).

UK menduduki tempat ke-92 daripada 138 negara yang diprofilkan, dengan 0.01 kg plastik dibiang ke laut setiap seorang setiap tahun

Selain pembuangan sampah plastik yang mengundang pencemaran alam sekitar, terdapat juga negara bertindak mengeksport sisa bahan buangan itu, antaranya Slovenia.

Mengikut statistik kajian dijalankan, seorang individu di negara itu mengeksport sebanyak 62.58 kg plastik pada 2021 dan 130,000 tan mengambil kira jumlah keseluruhan.

Rumusan kaji selidik sama mendapati, isu pembuangan sisa plastik ke dalam laut sangat menggusarkan kerana ia sudah pun mengancam hidupan laut.

Justeru, banyak negara di seluruh dunia sedaya upaya cuba untuk membendung masalah ini, dengan menekankan kepentingan kitar semula.

Antara dicadangkan untuk ‘membanteras’ pencemaran sisa plastik adalah dengan mempraktikkan budaya guna semula botol, cawan dan beg plastik.

Show More

Related Articles

Back to top button