Jenayah & Mahkamah

Insiden gaduh DIBW: Seorang suspek positif dadah

KOTA TINGGI – Polis mengesahkan salah seorang daripada empat lelaki yang direman bagi membantu siasatan insiden pergaduhan ketika acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Kota Tinggi, Sabtu lepas, positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, keputusan diperoleh selepas saringan air kencing dijalankan terhadap kesemua lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu.

“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hussin turut menasihatkan orang ramai agar tidak gusar dengan kejadian itu berikutan siasatan yang telus akan dijalankan tanpa kompromi mengikut undang-undang.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menyalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi menerusi talian 07-8831 222 atau pegawai penyiasat kes Asisten Komisioner Ng Han Shoong menerusi talian 016-5488 810 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi Hayda Faridzal Abu Hassan membenarkan perintah reman terhadap keempat-empat lelaki tersebut selama tiga hari bermula pada Isnin.

Pergaduhan yang berlaku Sabtu lepas ketika acara DIBW 2023 di Desaru itu dipercayai berpunca akibat salah faham antara dua kumpulan peserta motosikal tempatan dan dari Amerika Syarikat.

Show More

Related Articles

Back to top button