Berita Semasa

GAMIS gesa UM batalkan polisi sifar baki

KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) menggesa pihak Universiti Malaya (UM) bersikap empati kepada pelajar dan membatalkan serta-merta polisi sifar baki (zero balance policy) yang dilaporkan membebankan pelajarnya.

Presidennya, Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz berkata, kebanyakan pelajar tidak mempunyai kewangan yang stabil terutamanya pada awal semester.

Justeru katanya, keadaan itu menyebabkan ada pelajar yang tidak dapat melangsaikan pembayaran sekali gus pada awal setiap semester.

“GAMIS memuji dan menyokong usaha yang sedang digerakkan oleh Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM).

“Usaha itu telah membuahkan beberapa hasil seperti pemanjangan tempoh pendaftaran subjek kepada dua hari untuk semua tahap serta pengaktifan status pelajar bagi penerima tajaan bukan berdaftar di bawah Bendahari UM,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zero balance policy dilaksanakan universiti itu memaksa pelajar menjelaskan yuran semester baharu terlebih dahulu sebagai syarat untuk mengaktifkan status pelajar seterusnya mendaftar modul atau subjek.

Selain itu, GAMIS juga menuntut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memainkan peranan dalam menasihati pihak pentadbiran UM serta menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk bersolidariti bagi membantah polisi tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button