Berita Semasa

Tafsir sendiri ayat al-Quran: Bukit Aman siasat Howard Lee

IPOH – Polis Perak telah menyerahkan siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang dikatakan membuat tafsiran sendiri mengenai ayat al-Quran kepada Bukit Aman.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman susulan laporan asal atau laporan pertama mengenainya yang dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Katanya, hanya satu laporan diterima polis iaitu yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak, semalam, yang meminta siasatan dan tindakan dikenakan terhadap Howard Lee kerana dianggap menghina Islam.

“Di Perak, kita hanya menerima satu laporan berhubung dengannya dan laporan polis itu sudah kita rujuk kepada laporan asal yang dibuat di (Balai Polis) Jalan Tun Razak.

“Kes ini juga disiasat oleh pihak USJT Bukit Aman,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu mengadakan sidang media sempena kejayaan operasi rampasan ketamin bernilai RM1.5 juta serta penahanan lima suspek di perkarangan parkir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini.

Semalam, media melaporkan Jabat Perak membuat laporan polis terhadap Howard Lee di Balai Polis Manjoi, di sini.

Presiden Jabat Perak, Amiruddin Mohd Daud dilapor berkata, pihaknya merasakan tindakan Howard Lee sebagai sengaja menghina Islam memandangkan ahli parlimen itu bukan Muslim namun bertindak menafsirkan ayat di dalam al-Quran yang sekali gus turut menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum).

 

Show More

Related Articles

Back to top button