PM X

PM adakan pertemuan dengan Google, Boeing, Medtronic dan Siemens Healthineers

NEW YORK – Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik pelabur ke Malaysia diteruskan dengan pertemuan bersama empat syarikat gergasi iaitu Google, Boeing, Medtronic dan Siemens Healthineers, di sini.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kesemua syarikat tersebut turut menyatakan hasrat untuk mengembangkan operasi dan perniagaan mereka di Malaysia.

“Kerajaan Perpaduan juga akan memudahcara serta menggalak pelaburan dalam memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Perbincangan tersebut turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta wakil agensi dari MIDA dan Matrade.

Tambah Anwar, beliau turut mengadakan perjumpaan bersama ahli ekonomi terkenal yang juga pemenang Anugerah Peringatan Nobel dalam bidang ekonomi, Profesor Joseph Stiglitz daripada Universiti Columbia.

Anwar yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, berkata kesempatan itu dimanfaatkan dengan pertukaran pandangan.

Jelasnya, ia berkaitan keperluan ekonomi negara membangun untuk diberi peluang yang lebih saksama, khususnya di dalam persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.

“Kami turut berbincang mengenai langkah dan strategi yang boleh dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan membasmi kemiskinan dan dalam masa yang sama memastikan kemapanan.

“Pendidikan yang lebih menyeluruh juga perlu diberi tumpuan, demi bina jati diri  dan sahsiah generasi masa hadapan.

“Idea perbincangan akan dimanfaat dan dicambah untuk mempertingkatkan potensi ekonomi negara,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button