Berita Semasa

‘Penghuni PA, PPR tak hormat jiran’ – DBKL

KUALA LUMPUR – Sikap tidak menghormati jiran sekeliling merupakan punca segelintir penghuni Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara menjadikan laluan kaki lima dan bilik ‘riser’ sebagai ‘stor peribadi’ mereka.

Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Operasi Pindah Halangan dan mengeluarkan notis makluman serta notis pemberitahuan kesalahan kepada mereka yang terbabit seminggu sebelum operasi dijalankan.

Operasi itu dilaksanakan di PPR Pekan Kepong pada 12 September lalu, diikuti di PPR Batu Muda pada 16 dan 18 September lalu.

“Jadi mereka yang masih berdegil ini kena sita barangan yang menimbulkan halangan. Terdapat pelbagai barangan disita termasuk almari, kerusi kayu, meja plastik lipat, rangka katil, almari kasut dan perabot buruk.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap penghuni yang gagal mematuhi arahan mengosongkan siar kaki di bawah Undang-Undang Kecil Perumahan Awam (Wilayah Persekutuan) 2000.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan kompaun maksima RM2,000 atau enam bulan penjara,” kata DBKL dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Operasi Pindah Halangan itu akan diteruskan di kawasan-kawasan PA dan PPR di bawah kendalian DBKL.

“Umum mengetahui lumrah kehidupan di rumah flat yang penempatannya padat dan kehidupan harian dikelilingi oleh jiran. Kemudahan disediakan juga perlu dikongsi bersama.

“Kita perlunya sikap saling hormat-menghormati. Kita tidak mahu ada jiran yang menyusahkan kita, jadi kita pun janganlah ada sikap yang sama kerana masing-masing mahukan kehidupan yang aman damai,” katanya.

Jelas DBKL, perbuatan memasang, menggantung dan meletakkan pelbagai barangan di siar kaki menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak.

“Malah, ia boleh mencetuskan pergaduhan. Jika berlaku kes kecemasan seperti kebakaran, ia akan menyukarkan anggota bomba untuk bergerak disebabkan halangan itu.

“Hidup di rumah flat kena ada sikap toleransi yang tinggi. Jaga kebersihan, jaga kemudahan dan sikap hormat menghormati supaya kehidupan kita sejahtera,” kata kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button