
Azizulhasni umum tarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou
KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengumumkan terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou yang dijadualkan akan membuka tirai pada Sabtu ini.
Menurut Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman, keputusan itu dibuat susulan kecederaan yang dialaminya di bahagian kaki dan pinggul kiri akibat daripada kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Jumaat lalu.
“Dukacita dimaklumkan saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Sukan Asia. Saya mohon maaf kepada kontinjen negara dan seluruh rakyat Malaysia yang berharap saya beraksi di sana Hangzhou.
“Pada mulanya kecederaan saya tidak serius termasuklah selepas menjalani ujian imbasan dengan Institut Sukan Negara (ISN) tetapi selepas empat hari saya berasa sakit di bahagian badan.
“Jadi, selepas perbincangan dengan ketua jurulatih John Beasley kami memutuskan untuk menarik diri daripada Sukan Asia kali ini bagi memberi fokus kepada Sukan Olimpik Paris tahun depan,” kata pelumba berusia 35 tahun itu.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.
Jumaat lalu, peminat sukan tempatan dikejutkan dengan khabar kurang gembira selepas Azizulhasni berkongsi rakaman video kemalangan dialaminya ketika dalam sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai.
Menerusi rakaman tersebut, Azizulhasni kelihatan terjatuh ketika sedang memecut bagi mengejar motosikal dihadapannya selepas basikalnya mengalami kegagalan mekanikal iaitu tayar basikalnya meletup.
Pada temasya di Hangzhou kali ini, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu telah diletakkan sebagai prospek utama negara bagi menggondol emas bagi acara pecut individu dan keirin.
Untuk rekod, dalam kejohan Sukan Asia, Azizulhasni sudah mengumpul dua pingat emas menerusi kejayaan pada 2010 di Guangzhou dalam acara keirin dan pecut di Jakarta-Palembang 2018.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune