Berita Semasa

Radzi Jidin diarah keluar dewan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin diarah keluar dewan selepas mengganggu sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Arahan itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas Radzi enggan mendengar arahan supaya duduk dan memberi peluang Perdana Menteri meneruskan sesi penggulungannya tanpa diganggu.

Akibat tidak berpuas hati dengan keputusan itu, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bertindak keluar dari Dewan Rakyat.

Sementara itu, pada sidang media Ahli Parlimen pembangkang, Hamzah berkata, tindakan keluar Dewan Rakyat adalah bagi menunjukkan protes kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Katanya, keputusan dibuat Johari itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada Ahli Parlimen Putrajaya.

“Dalam perbahasan tadi, Yang Berhormat (YB) Tambun ada menimbulkan bahawa beliau menuduh Putrajaya melakukan sesuatu yang tidak baik. Apabila saya minta dia tarik balik, dia pusing dengan menyatakan Putrajaya itu bukan bermaksud Ahli Parlimen tetapi bermaksud pentadbiran Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat dibuat untuk membuktikan apa yang dilakukan Johari adalah tidak adil kepada Ahli Parlimen.

“Sepatutnya Yang Dipertua melakukan sesuatu dan bukannya menjadi seorang peguam,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button