Berita Semasa

Ahli pembangkang sepakat keluar dewan, tidak puas hati penjelasan PM

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang bertindak meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suasana Dewan Rakyat itu bertukar kecoh apabila Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) bangkit meminta Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Anwar menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.

Kekecohan berlarutan lebih setengah jam apabila pemimpin-pemimpin pembangkang turut bangkit mempertahankan Radzi.

Susulan itu, Johari meminta Anwar memberi penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat namun gagal memuaskan hati pembangkang.

Radzi secara berterusan meminta keadilan bagi pihaknya, bagaimanapun Speaker Dewan menjelaskan, Anwar telah memberi penjelasan yang sewajarnya dan meminta semua ahli dewan duduk untuk memberi laluan pergulungan diteruskan.

Perkara itu membuatkan Radzi tidak berpuas hati dan terus bersuara dan kelihatan agak emosi.

Keengganan Radzi untuk duduk bagi memberi laluan kepada sesi pergulungan diteruskan akhirnya menyebabkan Johari membuat keputusan memintanya keluar dewan.

Bertindak atas dasar maruah ahli Parlimen mereka, kesemua pemimpin pembangkang kemudiannya sepakat keluar dewan bersama Radzi.

Show More

Related Articles

Back to top button