Politik

Adakah Syed Saddiq tuduh Muhyiddin guna AG sebagai perisai? – soal Razlan

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii menyelar tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa Peguam Negara digunakan oleh Perdana Menteri sebagai perisai.

Malah Razlan juga menempelak Syed Saddiq yang sengaja membuat kenyataan terpilih sedangkan ramai pemimpin UMNO yang didakwa oleh Peguam Negara lantikan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tan Sri Thomy Thomas telah menang di mahkamah sebelum ini.

“Syed Saddiq membuat tuduhan bahawa Peguam Negara digunakan untuk perisai kepada Perdana Menteri, beliau tidak mengulas sewaktu ada banyak kes pemimpin UMNO yang menang di mahkamah di atas tuduhan dan dakwaan Peguam Negara lantikan Tun Mahathir sewaktu Thomy Thomas.

“Terdapat 18 pemimpin UMNO didakwa oleh Thommy Thomas dan kesemuanya menang diputuskan dalam mahkamah dan ada juga kes-kes yang diselesaikan di luar mahkamah kerana kekurangan bukti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Razlan Rafii

Dalam pada itu, Razlan juga menyindir Syed Saddiq yang masih berhadapan dengan kes pecah amanah duit parti ketika itu sama ada kenyataan yang dibuatnya itu turut dituju kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas enggan bersama beliau.

“Muhyiddin adalah Perdana Menteri ketika itu, adakah Syed Saddiq menuduh Muhyiddin mengarahkan Peguam Negara ketika itu campur tangan mendakwa beliau dan beliau kononnya bersih sebelum mahkamah membuat keputusan?

“Baca fakta kes yang dikenakan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beliau dikenakan pendakwaan kerana tidak ikut telunjuk Tun Mahathir, beliau didakwa kerana mempertahankan UMNO.

“Sebahagian pemimpin UMNO yang tidak dengar kata Tun Mahathir telah didakwa dan ramai pemimpin UMNO terlepas dari kezaliman Tun Mahathir kerana melompat, tidak kurang yang ada perjanjian bersama Tun Mahathir untuk melemahkan UMNO dari dalam,” katanya.

Sementara itu, Razlan juga mempertahankan kenyataan Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat yang menyatakan Datuk Dr Razi Jiddin juga tahu dan buat perkara kezaliman itu sewaktu menjadi orang Muhyiddin.

“Jelaslah pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak teragak-agak menggunakan kuasa untuk mempergunakan sistem perundangan sebagai senjata mereka melemahkan lawannya.

“Perdana Menteri tidak mahu terlibat di dalam kerosakkan yang telah dibuat dan dan terima kasih kepada Peguam Negara yang berjaya memperbetulkan keadaan sebelum menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button