Kerajaan luluskan pelan induk bersepadu guna tanah laluan ECRL
PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan menerusi Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bersetuju meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau dikenali sebagai PeGTaECRL.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan berkenaan akan memandu pembangunan di sekitar 20 stesen dan di sepanjang laluan ECRL yang telah dikenal pasti.
“MPFN yang ke-42 yang saya pengerusikan di Putrajaya hari ini merupakan platform bagi Kerajaan Persekutuan berbincang dengan Kerajaan Negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, sebentar tadi.
Mesyuarat yang sama turut bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan EV melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan (GPP EVCB).
“Selari dengan transformasi industri automatif negara ke arah peralihan masa hadapan yang lebih mesra alam dan mampan, ketersediaan infastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini,” kata Anwar lagi.
Beliau turut menambah, mesyuarat turut bersetuju terhadap keperluan pemakaian Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara oleh Agensi Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri, dan penterjemahan cadangannya dalam dokumen rancangan tempatan (RT) untuk kawalan perancangan dan guna tanah peringkat tempatan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune